NOVEMBER 2023

Sarawak Terima Peruntukan Tambahan Ukur Tanah NCR


LUNDU: Kerajaan Sarawak sudah menerima  peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta dari Kerajaan Pusat bagi melaksanakan pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera  (NCR). 

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peruntukan itu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  diterima awal bulan ini.

"Peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta kepada Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pengukuran tanah NCR di Sarawak dan kita sudah terima pada 6 November lalu," katanya di Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah  Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Dan Warta Komunal Rizab Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Bagi Daerah Lundu Dan Sematan, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, Kerajaan Pusat telah membelanjakan sebanyak RM227.1 juta bagi melaksanakan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu  sejak 2010.

Di samping itu, katanya Kerajaan Sarawak  di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga memperuntukkan sebanyak RM 40 juta untuk penyukatan tanah NCR.

"Pada tahun 2019 (Premier Sarawak) telah meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai dan kakitangan di Jabatan Tanah dan Survei yang melibatkan kos lebih kurang RM30 juta setahun bagi mempercepatkan pengukuran tanah NCR," tambahnya.

Di majlis itu, sebanyak 466 surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) telah diserahkan kepada 377 penerima melibatkan Kpg. Bengang dan Batu, Kpg. Siru Dayak dan Kpg. Gerunggang.

Sumber dari : Jiwa Bakti